Followers

Hasil Tangan anak Jati Johor



KULAIJAYA 6 Mei - Penampilannya serba ringkas, namun apabila mengenalinya secara dekat, anda pasti kagum dengan bakat yang dimiliki Zairul Nizam Yusof, 32. Anak jati Felda Taib Andak ini sering menjadi 'buruan' pemilik kenderaan tempatan dan negara jiran kerana kebolehannya menukarkan kereta lama kelihatan lebih bergaya dan canggih.

Semua itu dilakukan oleh Zairul Nizam menerusi kerja kreatif seni halus airbrush yang telah diterokainya sejak 2002 di bawah jenama B'bir Design.

Dia tidak pernah mempelajari teknik airbrush secara formal kerana semua kemahiran yang dimiliki datang daripada pengalaman.

"Saya tidak pernah belajar secara khusus tentang teknik lukisan airbrush ini. Waktu mula-mula lukisan airbrush menjadi ikutan, saya tidak berkeyakinan untuk buat.

"Waktu itu saya hanya buat dan pasang pelekat sahaja. Seorang pelanggan dari Singapura datang, minta saya buat airbrush untuk kereta Volkswagennya. Sejak itulah saya belajar buat teknik lukisan ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zairul Nizam memberitahu, dalam menghasilkan lukisan airbrush, dia turut menggunakan beberapa peralatan lain seperti berus gigi sebagai tambahan.

Membuat lukisan airbrush, katanya, tidak boleh ada kesilapan kerana kesalahan yang kecil boleh mencacatkan seni tersebut.

Bagaimanapun, ayah kepada dua orang anak ini ada cara tersendiri untuk menutupi kesilapan yang tidak disengajakan itu.

"Saya ada teknik sendiri untuk mengaburi mata orang ramai tentang kesilapan yang dibuat.

"Walaupun lukisan itu dibuat dua kali pada tempat yang sama, namun ia tetap nampak menarik pada mata kasar," katanya.

Biarpun tidak pandai melukis pada awalnya, namun kerana minat dia memaksa diri untuk belajar dan meminati lukisan.

Daripada membantu abangnya, Zaizun membuat pelekat dan papan iklan, kini menerusi B'Bir Design, dia turut menghasilkan cetakan pakaian, plat kenderaan, cetakan digital dan pelbagai papan iklan mengikut kehendak pelanggan.

Katanya, mesti pun perniagaan itu kian berkembang, namun tumpuan utama tetap diberikan kepada kerja-kerja berkaitan airbrush.

"Masa dulu, tidak dinafikan saya sanggup terima tempahan tiga buah kereta dalam sebulan, tapi sekarang saya terlalu berhati-hati.

"Saya berhati-hati kerana bagi saya seni airbrush yang dihasilkan amat bermakna. Saya mahu orang menghargai hasil kerja saya.

"Sesiapa yang tahu hasil kerja saya, mereka tidak banyak cakap dan akan setuju dengan harga yang ditawarkan," katanya.

Tidak dinafikan hasil kerja Zairul Nizam bernilai tinggi kerana dia bukan sahaja perlu memikirkan corak yang bakal dilorekkan pada kereta, malah semburan cat perlu dilakukan dengan teliti.

Untuk menghasilkan corak mudah pada kenderaan, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya 12 hari atau tiga minggu.

Katanya, semua corak bergantung kepada permintaan pelanggan dan pada waktu yang sama akan mengemukakan ideanya agar lukisan yang dibuat memuaskan hati mereka.

"Tidak semua kereta sesuai dengan corak yang dikemukakan oleh pelanggan. Begitu juga dengan gabungan warna perlu diambil kira agar lukisan yang dibuat nampak 'hidup'.

"Untuk semburan sebuah motosikal dengan corak yang mudah, bayaran yang dikenakan adalah antara RM500 dan RM700 ke atas. Untuk topi keledar pula, kadarnya ialah sekitar RM200," katanya.

Kini Zairul Nizam mempunyai beribu-ribu corak pelekat yang boleh membuatkan pelanggan teruja untuk memilih bagi ditampal pada kenderaan masing-masing.

Oleh kerana hasil kerjanya yang halus, maka pelekat yang ditampal pada kenderaan akan kelihatan seperti lukisan jika dipandang dari jauh.

Bagi kaki motor, pelekat berbentuk kerawang amat digemari ramai masa kini, malah corak itu juga dianggap melambangkan warisan seni tempatan.

"Kalau dulu kerawang dibuat pada kain saja, tapi kini corak itu boleh dibuat pada kenderaan. Pemandu wanita ramai yang menggemari corak ini.

"Corak ini tidak boleh berat sangat sebab ia akan nampak serabut. Untuk nampak cantik, kerawang itu perlu simple agar keasliannya dikekalkan," katanya.

Dalam menyelusuri kerjayanya, Zairul Nizam menyimpan impian untuk melakarkan lukisanairbrush ciptaannya di badan kapal terbang kerana sebelum ini dia pernah diberi kepercayaan untuk memperindahkan kereta Ferrari.

Bagi yang ingin mendapatkan khidmat Zairul Nizam untuk kenderaan masingmasing boleh menghubunginya di talian 07-6540970.

0 Responses to "Hasil Tangan anak Jati Johor" (Leave A Comment)